Sudahkah Nabi Muhammad Jadi Idola Anda??
Siapa idola kita ? Persoalan ini terutamanya di tujukan kepada sesiapa saja. Dalam kehidupan kita mencari hala tuju untuk hidup, sudah semestinya kita memerlukan matlamat dan panduan. Apa yang kita cari sebenarnya. siapa yang perlu kita ikut untuk di jadikan idola sebagai panduan dan contoh kepada kita? Ibu bapa kita, guru kita, kawan kita, pemimpin, penyanyi, ahli sukan, ahli perniagaan, ahli politik atau siapa sahaja? Kita boleh memilih siapa sahaja untuk di jadikan idola kita. Tidak salah asalkan ianya dapat membantu memperbaiki diri dan memberi kebaikan kepada kita.
Saya ingin menarik perhatian pada remaja kita dan sesiapa sahaja pada masa sekarang, Contoh yang saya mahu beri pada anda ialah pesta atau konsert. Dikatakan pesta tersebut telah mendapat sambutan hangat daripada rakyat. Ini tidaklah menghairankan memandangkan ramai artis popular dan bintang sukan yang terlibat di dalam acara yang dijalankan.
Orang ramai dan para peminat berpusu-pusu menghadirkan diri, sudah tentunya tidak mahu melepaskan peluang untuk berinteraksi dengan artis yang selama ini menjadi idola mereka. Namun hakikatnya, disebalik ‘kejayaan’ penganjuran program tersebut, tidakkah kita tertanya-tanya sama ada menjadikan artis dan bintang sukan sebagai idola akan benar-benar dapat membina sahsiah para remaja Islam kita hari ini? Kejadian-keajadian tidak bermoral yang begitu banyak dilaporkan sejak kebelakangan ini sudah tentu membimbangkan kita.
Begitu banyak dari kita yang menjadikan manusia biasa sebagai panutan dalam kehidupan kita. Saat ini kebanyakan manusia cenderung menjadikan para artis, aktor, penyanyi, tokoh politik, musisi, ilmuan, dan beberapa figur lainnya sebagai idola dalam kehidupan ini. Bahkan ada yang mengidolakan mereka dengan cara-cara yang melampaui batas. Mengidolakan seseorang bukanlah hal yang dilarang dalam Islam, namun pengidolaan yang berlebihan dan mengidolakan sesuatu yang dilarang dalam Islam adalah perbuatan yang dibenci oleh Allah.
Meneladani akhlak Rasul dapat kita lakukan dengan menjadikan beliau sebagai idola kita dalam kehidupan ini. Seseorang yang mencintai idolanya biasanya akan terinspirasi untuk melakukan sesuatu yang dilakukan oleh sang idola. Selain itu setiap sendi kehidupan sang idola juga tidak akan luput dari pengawasannya. Sang idola akan menjadi model utama dalam tingkah lakunya. Bagaimana sang idola berpakaian, bertutur sapa, belajar, bekerja, serta berbagai aktiviti lainnya akan selalu menjadi perhatian. Itulah sikap dan tingkah laku yang biasanya dilakukan jika kita mengidolakan seseorang.
Apa yang kita perlukan bukanlah idola yang akan terus menjerumuskan rakyat, terutamanya para pemuda-pemudi kita ke lembah kekusutan, namun apa yang diperlukan adalah idola yang akan dapat mengembalikan kegemilangan dan keunggulan umat yang digelar Allah swt sebagai umat yang terbaik. Hanya selang beberapa hari selepas Fiesta ini, sambutan Maulidur Rasul diadakan bagi memperingati hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Bukankah sewajarnya, pada hari itu dan hari-hari seterusnya, kita menghayati rahmat yang telah Allah turunkan untuk alam semesta ini dan memahami tujuan sebenar Rasulullah saw diutus kepada umat manusia. Inilah idola yang sewajarnya dijadikan contoh oleh umat manusia, terutamanya para pemuda-pemudi yang merupakan harapan kaum muslimin dalam mengembalikan kegemilangan Islam. Kesedaran yang lahir daripada kefahaman tersebut seharusnya membuatkan kita insaf terhadap apa yang berlaku kepada sebahagian besar kaum muslimin diseluruh dunia. Umat Islam di seluruh dunia pada masa ini sudah tidak lagi dianggap sebagai umat yang terbaik. Umat Islam hari ini sudah jauh ketinggalan di dalam banyak aspek kehidupan. Bahkan, di sesetengah negara, umat Islam berada didalam keadaan yang cukup hina
Idola kita yang sebenar adalah Nabi Muhammad saw. Baginda tidak ada tolok bandingannya dengan tokoh-tokoh dunia yang lain, artis mahupun bintang sukan. Tidaklah wajar bagi individu muslim menjadikan tokoh-tokoh selain baginda sebagai idola. Para sahabat dan para tab’in telah menjadikan Rasulullah saw sebagai titik rujukan dan idola mereka. Dengan ketaqwaan dan semangat yang mereka ikuti dari idola ini, mereka telah berjaya membawa Islam ke seluruh dunia dan suatu ketika pernah menguasai dua pertiga dunia. Tidak pernah dunia mengecap keadilan, keharmonian dan kerahmatan selain dari waktu ini.
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan ( kedatangan) hari kiamat dan ia banyak mengingati Allah” [TMQ Al Ahzab (33): 21]
Obor perjuangan menegakkan Islam telah dinyalakan, hanya menunggu paluan gendang. Pendayung sudah ditangan mengapa termenung kelu dan membisu. Masa kian suntuk, bukalah minda lihatlah dunia dan kita akan tertanya-tanya…adakah ketenangan dan keharmonian di sekeliling kita ini suatu realiti? Ataukah mungkin hanya fatamorgana? Fikir-fikirkanlah.
Kita ambil sedikit masa renungkan seketika, siapakah idola kita? Apa yang kita perlukan bukanlah idola yang akan terus menjerumuskan kita, terutamanya para pemuda-pemudi kita ke lembah kekusutan, namun apa yang diperlukan adalah idola yang akan dapat mengembalikan kegemilangan dan keunggulan sebagai insan terbaik.
© 2010, Master Arsyad. All rights reserved.




